Artikel disediakan oleh: Dr. Siti Zafirah Ghazali
Pengenalan
Ikan baja merujuk kepada kumpulan ikan bersaiz kecil serta ikan juvenil yang mempunyai nilai komersial rendah atau tidak bernilai di pasaran. Lazimnya, ikan ini ditangkap sebagai hasil sampingan dalam operasi pukat tunda. Di Malaysia, antara spesies utama termasuk bilis (Stolephorus spp.), tamban (Sardinella spp.) dan seriding (Ambassis sp.). Ikan-ikan ini biasanya digunakan sebagai makanan ternakan atau diproses menjadi tepung ikan (fishmeal) untuk industri akuakultur.
Walaupun nilai ekonominya rendah, ikan baja memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem marin dan pembangunan industri akuakultur.

Peranan Ikan Baja dalam Ekosistem Laut
Ikan baja merupakan komponen penting dalam rantaian makanan laut kerana ia bertindak sebagai penghubung antara plankton dan pemangsa yang lebih besar. Spesies ini menjadi sumber makanan utama bagi ikan komersial seperti siakap (Lates calcarifer) dan kerapu (Epinephelus spp.).
Penangkapan ikan baja secara berlebihan, khususnya melalui kaedah pukat tunda yang tidak selektif, boleh menjejaskan populasi ikan kerana banyak ikan juvenil ditangkap sebelum mencapai kematangan. Hal ini boleh mengurangkan kadar pembiakan semula jadi dan menjejaskan stok ikan pada masa hadapan (FAO, 2020).
Selain itu, habitat seperti hutan paya bakau memainkan peranan penting sebagai kawasan nurseri bagi pelbagai spesies marin. Kemusnahan habitat ini akan memberi kesan langsung terhadap populasi ikan kecil termasuk ikan baja (FAO, 2007).
Peranan Ikan Baja dalam Industri Akuakultur
Sejak perkembangan akuakultur di Malaysia, ikan baja telah digunakan sebagai sumber makanan bagi ikan ternakan, khususnya spesies ikan komersial seperti siakap dan kerapu. Walaupun penggunaan makanan pelet berformula semakin meluas, tepung ikan yang dihasilkan daripada ikan baja masih menjadi bahan utama dalam formulasi makanan tersebut kerana kandungan proteinnya yang tinggi (Obi et al., 2025).
Permintaan terhadap ikan baja terus meningkat selari dengan perkembangan industri akuakultur. Namun begitu, peningkatan ini turut memberi tekanan kepada sumber semula jadi dan menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian stok ikan.
Rujukan
Tarikh Input: 09/04/2026 | Kemaskini: 29/04/2026 | sitizafirah
