INDUSTRI PERIKANAN - MENGHUBUNGKAN KESIHATAN EKOSISTEM AKUATIK KE SEKURITI MAKANAN | INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
» ARTIKEL » INDUSTRI PERIKANAN - MENGHUBUNGKAN KESIHATAN EKOSISTEM AKUATIK KE SEKURITI MAKANAN

INDUSTRI PERIKANAN - MENGHUBUNGKAN KESIHATAN EKOSISTEM AKUATIK KE SEKURITI MAKANAN

Oleh : Prof. Dr Fatimah Md Yusoff

 

Lebih daripada 3.2 bilion penduduk dunia bergantung kepada ikan untuk sumber protein mereka, selaras dengan peningkatan penggunaan ikan/produk ikan dunia daripada 9 kg per kapita dalam tahun 1961 kepada lebih kurang 20.3 kg per kapita dalam tahun 2020 (FAO, 2020). Peningkatan penggunaan ini bukan sahaja disebabkan oleh peningkatan pengeluaran, tetapi juga oleh gabungan faktor yang berkaitan dengan pertumbuhan penduduk, peningkatan pendapatan, manfaat nutraseutik dan kesihatan, ketersediaan produk, pembandaran serta perubahan gaya hidup. Kadar penggunaan ikan di Malaysia adalah salah satu daripada yang tertinggi di dunia dengan 59 kg per kapita pada tahun 2016. Tidak seperti sektor pertanian lain, sektor perikanan mempunyai lebih daripada 100 spesies komersial dan kultur terpilih daripada >32,000 spesies haiwan akuatik, menawarkan pilihan spesies dan produk yang tinggi. Sebagai makanan, ikan menyediakan sumber protein, vitamin, mineral dan antioksidan yang merupakan sumber yang penting untuk industri nutraseutikal, kosmeseutikal dan farmaseutikal. Ikan juga terkenal sebagai makanan pembangunan otak kerana asid lemak polyunsaturated yang tinggi, terutamanya asid lemak omega-3 yang berkaitan dengan fungsi otak, ingatan dan kesihatan. Oleh itu, perikanan adalah sektor penghasil makanan utama dan memainkan peranan penting dalam memastikan sekuriti makanan dan nutrisi masyarakat negara.

Seperti di banyak tempat di dunia, pengeluaran perikanan tangkapan di Malaysia mengalami kemerosotan, bahkan menurun disebabkan oleh aktiviti antropogenik yang berkaitan dengan penangkapan lampau, pencemaran dan kemerosotan habitat. Pada tahun 2017, jumlah pengeluaran perikanan di Malaysia berjumlah 1.7 juta tan, di mana 1.5 juta tan (88.2%) adalah dari perikanan tangkapan dan 0.2 juta tan (11.8%) dari akuakultur, tidak termasuk rumput laut (FAO, 2019). Malaysia adalah pengimport bersih ikan dan produk ikan (kedudukan ke-26 di dunia) berjumlah AS$976.6 juta pada tahun 2017 (FAO, 2019), sementara jumlah pendapatan eksport adalah AS$714.1 juta pada tahun yang sama (kedudukan ke-42 di dunia).

 

Pendaratan ikan di Malaysia diantara tahun 2013 – 2018 (data dari DoF, 2019)

Dengan anugerah sumber akuatik negara yang kaya dan berbagai, seperti hutan paya bakau, muara, terumbu karang, dan rumput laut di ekosistem pantai, mungkinkah trend ini boleh berubah? Bolehkah sektor perikanan menjanjikan sekuriti makanan untuk negara? Mungkinkah kita mengembalikan biodiversiti dan sumber perikanan yang tinggi yang pernah wujud pada masa lampau?  Bolehkah negara kita menghasilkan ikan yang mengcukupi untuk kegunaan sendiri? Pada tahun 2014, WorldFish, USAID dan negara Bangladesh memulakan projek peningkata perikanan pantai (ECOFISH-BD) dengan memfokuskan kepada ikan kebangsaan Hilsa shad (Tenualosa ilisha) melalui initiatif pengurusan pendekatan ekosistem berasaskan sains. Hanya selepas dua tahun, ukuran purata saiz ikan yang ditangkap meningkat dari 510 g pada tahun 2014 kepada 880 g pada tahun 2016, dan pendapatan nelayan meningkat sebanyak 52% (lihat artikel ECOFISH-BD dalam edisi yang sama). Ikan dari kumpulan shads (Tenualosa spp.) mempunyai kitaran hidup yang kompleks yang memerlukan ekosistem laut, muara dan sungai untuk melengkapkan corak migrasi mereka. Hanya dengan pengurusan ekosistem yang mantap dapat memastikan populasi Hilsa yang berterusan. Pernah dikatakan bahawa Hilsa banyak didapati di Selat Melaka pada satu ketika dahulu, tetapi tidak dijumpai dan tidak dilaporkan selama beberapa dekad yang lalu. Di Malaysia, dua Tenualosa spp. (terubuk), T. toli dan T. macrura masih boleh didapati di perairan Sarawak. Pengurusan yang berkesan melalui pendekatan ekosistem berasakan ekologi adalah diperlukan untuk memastikan kesinambungan warisan semulajadi yang berharga ini, yang sedang menghadapi ancaman serius disebabkan oleh pencemaran dan penangkapan ikan lampau.

 

Di Malaysia, untuk mencapai kemapanan, industri perikanan harus fokus kepada sistem pengeluarannya, kerana keseluruhan rantai nilai sektor ini akhirnya bergantung pada biodiversity, kesihatan dan daya tahan ekosistem. Di Malaysia, pendaratan ikan tertinggi adalah dari Selat Melaka. Adakah hanya secara kebetulan bahawa Perak menghasilkan hasil tertinggi dibandingkan dengan negeri lain di Selat Melaka, atau kerana Perak mempunyai kepadatan bakau tertinggi yang melapisi pesisirnya berbanding yang lain.

Pendaratan ikan di Kawasan yang berbeza di Malaysia pada 2018 (DoF, 2019)

Kesihatan ekosistem dan komponen ekologinya termasuk biodiversiti, tahap trofik, aliran tenaga harus dilindungi dengan berkesan untuk memastikan bekalan sumber marin yang berterusan. Pada tahun 2014 dan sebelumya, adalah menjadi kebiasaan melihat ikan bersaiz besar ditangkap oleh nelayan tempatan dari selat yang dipenuhi oleh hamparan luas ekosistem rumput laut serta hutan bakau di sepanjang pantainya. Malangnya, pada tahun berikutnya, dasar laut yang sangat produktif dengan biodiversiti yang kaya terhapus untuk memberi laluan kepada pembangunan ekonomi.

Ikan yang ditangkap oleh nelayan  tempatan di kawasan rumput laut yang berhampiran.

Amalan penangkapan ikan yang tidak mapan (banyak ikan kecil ditangkap sebagai ikan baja) menghalang spesies daripada melengkapkan kitaran hidup mereka, mengakibatkan kegagalan untuk penambahan populasi ikan.

Untuk Malaysia memastikan kecukupan bekalan perikanan, mencapai sekuriti makanan, mengurangkan importnya serta meningkatkan eksportnya, sistem pengeluaran harus utuh, sihat, sangat produktif, mencukupi dan mapan untuk meningkatkan kesejahteraan dan pemerkasaan komuniti serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, kesemuanya didorong oleh urus tadbir yang kukuh dan rangka kerja perundangan yang mantap. Penangkapan lampau serta penangkapan ikan IUU (tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia) (Rajah 4), aktiviti pencemaran dan pemusnahan habitat seperti ekosistem rumput laut, bakau dan terumbu karang harus dicegah dengan berkesan. Harus diakui bahawa pengeluaran perikanan bergantung kepada integriti alam sekitar, kesihatan ekosistem, pemuliharaan biodiversiti dan stok ikan yang mapan. Akhirnya, pendekatan berasaskan ekosistem untuk perikanan yang bertanggungjawab harus berkait rapat dengan objektif sekuriti makanan nasional dan pemakanan manusia, yang membentuk blok pembangunan penting bagi ekonomi biru.

 

 

 

 

Tarikh Input: 01/07/2020 | Kemaskini: 26/11/2020 | nsyahirah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8100
03-9769 8953
SXEUAAV~