Artikel oleh: Nur Hidayahanum Hamid
Sumber: Trinity College Dublin
Satu kajian baharu yang diketuai oleh Trinity College Dublin dengan kerjasama University of Pretoria mendapati bahawa ikan berdarah panas separa atau mesotermik, seperti tuna dan beberapa spesies jerung, berdepan cabaran besar dari segi penggunaan tenaga dan kawalan suhu badan apabila suhu laut semakin meningkat. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science itu menunjukkan bahawa ikan mesotermik menggunakan kira-kira 3.8 kali lebih banyak tenaga berbanding ikan berdarah sejuk (ektotermik) yang mempunyai saiz dan suhu yang sama.
Ikan mesotermik, yang merangkumi kurang daripada 0.1% daripada semua spesies ikan, mempunyai keupayaan mengekalkan sebahagian suhu badan lebih tinggi daripada air di sekelilingnya. Adaptasi ini memberikan kelebihan kepada spesies seperti tuna, jerung putih besar dan jerung basking, termasuk keupayaan berenang lebih pantas, memburu dengan lebih berkesan dan melakukan perjalanan jarak jauh. Namun begitu, kelebihan tersebut memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi.
Para penyelidik membangunkan kaedah untuk menganggarkan penggunaan tenaga ikan yang berenang bebas di perairan semula jadi menggunakan sensor biologging yang merekodkan suhu badan dan suhu air di sekeliling. Data daripada ikan liar, termasuk jerung basking yang boleh mencapai berat sehingga 3.5 tan, digabungkan dengan ratusan pengukuran daripada kajian makmal.
Hasil kajian menunjukkan bahawa suhu memberi pengaruh besar terhadap keperluan tenaga ikan. Peningkatan suhu badan sebanyak 10°C boleh menyebabkan kadar metabolisme rutin meningkat lebih daripada dua kali ganda. Ini bermakna ikan mesotermik memerlukan lebih banyak makanan untuk memenuhi keperluan tenaga yang tinggi.
Risiko ini menjadi lebih ketara apabila ikan membesar. Ikan yang lebih besar menghasilkan haba lebih cepat berbanding keupayaan tubuhnya untuk melepaskan haba tersebut. Dalam ikan mesotermik, kadar metabolisme yang tinggi turut meningkatkan risiko terlebih panas (overheating).
Keadaan ini digambarkan sebagai “double jeopardy” kerana pemanasan laut meningkatkan risiko tekanan haba, manakala perubahan atau pengurangan sumber makanan pula menyukarkan ikan mendapatkan tenaga yang mencukupi. Akibatnya, sesetengah spesies mungkin menghadapi penyusutan habitat yang sesuai dan terpaksa bergerak ke kawasan yang lebih sejuk, termasuk kawasan berhampiran kutub.
Gambar 1: Jerung putih besar (Carcharodon carcharias) yang bersaiz besar dan bertubuh panas mempunyai keperluan tenaga yang tinggi serta berisiko mengalami pemanasan melampau di lautan yang semakin panas. Kredit: Andrew Fox
Gambar 2: Jerung basking berenang dengan mulut terbuka luas untuk menapis makanan. Spesies ini sering dilihat di perairan Ireland. Foto: Greg Skomal.
Rujukan
Tarikh Input: 13/08/2026 | Kemaskini: 13/08/2026 | izwaharyanie
