PENGEMBALIAN SEMULA KETAM BUNGA DI PERAIRAN PERSISIRAN PANTAI | INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
» ARTIKEL » PENGEMBALIAN SEMULA KETAM BUNGA DI PERAIRAN PERSISIRAN PANTAI

PENGEMBALIAN SEMULA KETAM BUNGA DI PERAIRAN PERSISIRAN PANTAI

Oleh: Prof. Dr. Aziz Arshad

Portunus pelagicus, atau dalam bahasa tempatannya dikenali sebagai ketam renjung atau ketam bunga, adalah merupakan keluaran hasil persisir pantai yang utama. Penangkapan spesies ini biasanya dilakukan oleh seorang atau dua orang nelayan menggunakan bot yang kecil, samada menggunakan bubu ataupun jala. Ketam bunga mempunyai rasa yang sangat enak  dengan isi yang manis dan segar, menyebabkan ketam ini sering dicari oleh penggemar makanan laut. Bagaimanapun, disebabkan oleh pencemaran dan penangkapan ketam berlebihan di beberapa perairan pantai, pendaratan ketam bunga ini didapati semakin merosot.

Ketam Bunga yang matang dilihat berada berhampiran rumpai laut semasa air surut.

Untuk menampung pendaratan ketam bunga yang semakin menurun, nelayan telah mula menangkap ketam yang tidak matang, yang mana ianya akan membawa kepada ketidakseimbangan populasi yang akhirnya mengancam kesinambungan penghasilan ketam di perairan tempatan. Untuk mengatasi masalah yang serius ini, I-AQUAS telah membangunkan teknologi pengeluaran benih ketam bunga sejak tahun 2018. Bagaimanapun, permintaan untuk ketam bunga ini masih rendah kerana teknologi masih di dalam fasa penyelidikan.

Anak ketam mendapatkan perlindungan di kawasan rumpai laut.  

Pada tahun 2019, Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) telah mula bekerjasama dengan I-AQUAS untuk mengkaji semula keperluan mengembalikan semula populasi ketam bunga. DoF berminat untuk meningkatkan kehidupan nelayan melalui pembebasan anak ketam bunga ini secara berkala ke dalam habitat semulajadi. Melalui usaha ini, DoF berharap ianya berupaya membantu pemulihan dan peningkatan populasi semula jadi ketam bunga di kawasan perairan pantai. Setelah kawasan perairan pantai penting dikenalpasti, dana sebanyak RM50,000 telah disalurkan kepada I-AQUAS untuk pengeluaran anak ketam bunga ini yang kemudiannya diserahkan semula kepada DoF untuk dilepaskan keperairan pantai yang tertentu.

Anak-anak ketam kawasan dasar laut yang berlumpur. Pewarnaan mereka dilihat serasi dengan persekitaran

Ketam induk yang matang diperangkap di perairan Port Dickson dan dibawa balik ke tapak penetasan I-AQUAS untuk tujuan pembiakan. Ia biasanya mengambil masa selama dua minggu selepas penetasan sebelum larva menjadi anak ketam. Untuk memastikan kadar hidup anak ketam adalah tinggi, I-AQUAS akan memberi penjagaan dalam masa satu atau dua minggu sebelum anak-anak ketam ini dibawa ke tempat yang ditetapkan untuk dilepaskan ke habitat semulajadi mereka.

Anak-anak ketam yang dibiakkan di I-AQUAS bersedia untuk dilepaskan

Daya tahan hidup anak ketam ini sangat bergantung pada kesihatan rumpai laut. Rumpai di dasar laut adalah habitat penting bagi anak-anak ketam, ia menyediakan tempat perlindungan dan tapak semaian dengan zooplankton yang banyak untuk memenuhi keperluan pemakanan mereka. Usaha pengembalian semula bilangan ketam bunga ini dapat membantu pemulihan penduduk setempat namun ianya tidak akan menjadi efektif tanpa rumpai laut yang sihat dan kesedaran di kalangan nelayan. Ketetapan bagi ketam yang TIDAK-BOLEH-DIAMBIL contohnya seperti ketam yang di bawah saiz tertentu yang diukur dengan kadar lebar dan ketam betina yang sedang bertelur perlu dikuatkuasakan kerana ianya adalah penting untuk  memastikan kemapanan hasil ketam bunga ini.

I-AQUAS bersama-sama DoF akan terus memainkan peranan kami untuk memastikan kelestarian perikanan Malaysia.

 

Staf I-AQUAS menyerahkan anak-anak ketam bunga kepada pegawai Jabatan Perikanan Malaysia (DoF)  semasa upacara pelepasan semula di Teluk Kemang, Port Dickson

Anak-anak ketam dilepaskan secara perlahan-lahan ke habitat semulajadi mereka, satu usaha untuk meningkatkan populasi ketam di laut.

 

 

Tarikh Input: 28/03/2020 | Kemaskini: 30/11/2020 | m_fakhrulddin

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8100
03-9769 8953
SXESPAM~