SPESIES TIRAM BARU DINAMAKAN OLEH PENYELIDIK UPM | INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
» ARTIKEL » SPESIES TIRAM BARU DINAMAKAN OLEH PENYELIDIK UPM

SPESIES TIRAM BARU DINAMAKAN OLEH PENYELIDIK UPM

 

Kaedah unik “menyelam tiram” di Sungai Muar telah tercatat dalam sejarah seawal tahun 1858. Penternakan tiram di dasar sungai merupakan warisan terkenal di muara Sungai Muar. Tiram premium ini pernah dijadikan makanan istimewa hanya untuk golongan diraja dan pegawai tinggi, dan kemudiannya telah dieksport ke pasar di Singapura pada awal 1900-an. Usaha kerjasama antara UPM dan Queen's University Belfast baru-baru ini telah mengesahkan bahawa spesies tiram ini merupakan spesies baharu dan dinamakan Crassotrea (Magallana) saidii.

Spesies tiram ini telah mendapat perhatian Dr Nur Leena Wong dari Institut Antarabangsa  Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), UPM, ketika seorang peniaga tempatan Muar, Md Saidi Mohamed, menghubungi pihak UPM pada tahun 2017 mengenai masalah populasi tiram yang semakin berkurangan. Hasil daripada usaha beliau dalam memelihara warisan semulajadi ini, pasukan UPM dapat memahami biologi dan ekologi spesies unik ini dengan lebih mendalam.

Tiram ini dikenali sebagai "tiram putih" di kalangan penduduk tempatan kerana isinya yang berwarna putih krim dan berkualiti tinggi, dan spesies ini lebih mendapat sambutan berbanding dengan spesies C. belcheri (tiram kapak) yang juga boleh dijumpai di muara Sungai Muar. Walaupun spesies tiram sukar dikenalpasti melalui morfologi luaran, penyelam tiram tempatan yang berpengalaman dapat mengenalpasti dan membezakan kedua-dua spesies ini dengan mudah.

"Saya kagum dengan ketepatan penyelam tiram dalam membezakan spesies tiram!" kata Dr. Leena. Spesimen yang dikenal pasti oleh nelayan tempatan telah disahkan identitinya melalui ujian DNA, justeru membuktikan kepentingan ilmu pengetahuan warga tempatan dalam penemuan saintifik.

"Kelestarian sesuatu spesies tidak dapat diperlihara jika kewujudannya tidak disahkan secara saintifik, oleh itu kajian untuk mengenali identiti setiap spesies adalah amat penting," jelas Dr. Julia Sigwart, ahli taksonomi moluska dari Pusat Pengajian Sains Biologi di Queen's University Belfast.

Tiram ini telah dinamakan Crassotrea (Magallana) saidii untuk mengiktiraf usaha Md Saidi Bin Mohamed dalam mempromosikan penyelidikan dan pemuliharaan spesies tiram ini. Beliau yang merupakan seorang warga Muar amat berdedikasi dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam perlindungan spesies tiram ini untuk menjamin kelestariannya. Syarikat beliau yang bernama Oyster Reef Enterprise kini fokus pada usaha mempromosi tiram Sungai Muar sebagai produk akuakultur yang mesra alam.

Muara Sungai Muar merupkan satu-satunya tempat spesies baharu ini boleh dijumpai di dunia dan pemuliharaan populasi kecil tiram ini amat diperlukan untuk memastikan kelestarian perikanan tiram. Pasukan penyelidik I-AQUAS kini berusaha untuk meningkatkan populasi tiram melalui pendekatan akuakultur.

 

Penerbitan jurnal boleh dilayari di sini

 

  Penyelam tiram, Mr. Abdul Shukor Bin Bahrom menunjukkan kemahiran menuai tiram di dasar sungai.

 

 Jenis spesimen Crassostrea (Magallana) saidii (kiri) dinamakan Md Saidi Mohamed (kanan).

 

 

Tarikh Input: 20/10/2021 | Kemaskini: 11/04/2022 | m_fakhrulddin

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8100
03-9769 8953
SXETMAr~