Port Dickson, 15 Ogos 2025 – Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia telah mengadakan Program Semarak Merdeka 2025 sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke 68 dengan penuh meriah dan bermakna. Program bertemakan “Laut Kita, Warisan Merdeka” telah berlangsung dengan pelbagai acara simbolik yang menzahirkan kecintaan kepada tanah air.
Program tersebut telah bermula pada jam 3.00 petang dengan ketibaan panel juri dari Dewan Besar UPM yang disambut oleh Ahli Pengurusan dan staf I-AQUAS. Setiap para juri diberikan Jalur Gemilang sebagai tanda penghormatan dan penghargaan. Ucapan alu-aluan turut menekankan kepentingan perpaduan warga I-AQUAS dalam menjayakan sambutan ini.
Persekitaran I-AQUAS telah diserikan dengan hiasan Jalur Gemilang, pakaian tradisional, serta logo Malaysia Madani yang dihasilkan daripada bekas telur terpakai. Kreativiti tersebut menggambarkan semangat kelestarian alam sekitar selain mencerminkan kepelbagaian rakyat Malaysia yang bersatu padu membentuk identiti bangsa.
Kemuncak majlis menyaksikan juri dan tetamu dibawa menyaksikan replika “Kerbau Merdeka” yang dibina menggunakan rangka besi dan jaring terpakai, dicat dengan warna Jalur Gemilang. Replika tersebut melambangkan keteguhan dan jasa masyarakat terdahulu dalam mempertahankan kehidupan pesisir serta semangat juang rakyat Malaysia.
Acara diteruskan dengan simbolik pelepasan bot dan kayak yang membawa Jalur Gemilang menuju ke Pulau Terumbu. Bendera Malaysia kemudian dipacak megah di pulau tersebut sebagai lambang kedaulatan dan perpaduan. Para juri turut melepaskan benih ketam renjong ke laut, melambangkan kebebasan dan kelestarian seiring erti kemerdekaan.
Majlis diakhiri dengan nyanyian Negaraku dan laungan “Merdeka” sebanyak tiga kali, disambut dengan penuh semangat oleh warga I-AQUAS. Sambutan ini bukan sahaja memperkukuh rasa cinta terhadap tanah air, malah menekankan tanggungjawab bersama dalam memelihara laut sebagai khazanah negara yang menjadi warisan kemerdekaan untuk generasi akan datang.





Tarikh Input: 28/08/2025 | Kemaskini: 21/08/2026 | nurulainramli
