SUNGAI RAMBAI, 8 Julai 2026 - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) meneruskan komitmennya dalam memulihara sumber marin negara menerusi pelepasan 20,000 benih ketam renjong (Portunus pelagicus) sempena Program Santai D'Nelayan yang diadakan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Sungai Rambai, Melaka.
Majlis tersebut menghimpunkan pelbagai agensi dan komuniti setempat serta dihadiri oleh YB Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka. Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPM, YBhg. Dato' Sri Jailani Johari, diiringi Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris, Dr. Clement Roy de Cruz, serta para nelayan dan masyarakat setempat.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPM, YBhg. Dato' Sri Jailani Johari, beliau merakamkan penghargaan kepada JAPERUN Sungai Rambai atas peluang menjalin kerjasama dalam menjayakan Program Santai D'Nelayan yang memberi manfaat kepada komuniti pesisir. Beliau berkata, penyertaan UPM mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda pembangunan masyarakat selaras dengan slogan "Berilmu Berbakti", di samping memperkukuh usaha pemuliharaan sumber marin menerusi penghasilan benih berkualiti tinggi hasil penyelidikan dan inovasi Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS).
Sehingga kini, UPM telah melepaskan lebih daripada 300,000 benih ketam di Sungai Rambai serta melaksanakan pemindahan teknologi kepada komuniti nelayan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan dan pendapatan mereka.
UPM turut memperkukuh pembangunan sektor akuakultur melalui program pelepasan benih udang galah serta kerjasama strategik dengan Melaka Biotechnology Corporation bagi penubuhan Pusat Kecemerlangan Udang Galah di Merlimau.
Program ini membuktikan komitmen berterusan UPM dalam menyokong kelestarian sumber perikanan, memperkasa komuniti nelayan dan menjamin keterjaminan makanan negara selaras dengan slogan "Berilmu Berbakti."





Tarikh Input: 08/07/2026 | Kemaskini: 08/07/2026 | nurulainramli
