PORT DICKSON, 24 Jun 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) melepaskan sebanyak 25,000 benih ketam renjong (Portunus pelagicus) di perairan Port Dickson menerusi program PUTRA Marine-Care: Program Restorasi Stok dan Kelestarian Ketam bersempena Bulan Sinergi Putra UPM 2026.
Inisiatif ini dilaksanakan sebagai usaha memulihkan stok spesies marin bernilai tinggi, memperkukuh keterjaminan makanan negara serta menyokong peningkatan pendapatan komuniti nelayan melalui pendekatan pemuliharaan sumber perikanan yang mampan.
Program tersebut disempurnakan oleh Pengarah I-AQUAS, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris, serta dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia, YBrs. Dr. Noraishah Mydin Haji Abdul Aziz dan YBrs. Tuan Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sembilan, En. Muhammad Afiq Zali, wakil Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang dan Port Dickson.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara I-AQUAS UPM, Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang dan Port Dickson bagi memperkukuh usaha pemuliharaan sumber perikanan negara melalui pendekatan berasaskan penyelidikan, inovasi dan penglibatan komuniti.
Menurut Pengarah I-AQUAS, pelepasan benih ketam bunga ini merupakan salah satu inisiatif pemuliharaan yang memanfaatkan kepakaran penyelidikan serta teknologi pembenihan I-AQUAS dalam memastikan kelestarian populasi ketam bunga di perairan Port Dickson.
Beliau berkata, usaha tersebut bukan sahaja membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem marin, malah berpotensi meningkatkan hasil tangkapan nelayan serta menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti pesisir secara berterusan.
Program ini turut menampilkan demonstrasi penangkapan ketam dan penerangan berkaitan model ekonomi kitaran bersama komuniti nelayan tempatan bagi memperlihatkan hubungan antara aktiviti pembenihan, pelepasan stok dan hasil tangkapan yang mampan.
Pendekatan ini membuktikan bahawa penyelidikan universiti mampu diterjemahkan kepada penyelesaian berasaskan sains yang memberi impak langsung kepada masyarakat melalui pengurusan sumber marin yang lebih cekap dan lestari.
Inisiatif PUTRA Marine-Care mencerminkan komitmen berterusan UPM melalui I-AQUAS dalam memperkasa kelestarian sumber marin menerusi kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan dan komuniti setempat, sekali gus memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.






Tarikh Input: 29/06/2026 | Kemaskini: 08/07/2026 | nurulainramli
