UPM Meterai MoU Bersama Zhejiang Institute Of Freshwater Fisheries Perkukuh Penyelidikan Udang Galah | INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK i-aquas
» BERITA » UPM Meterai MoU Bersama Zhejiang Institute Of Freshwater Fisheries Perkukuh Penyelidikan Udang Galah

UPM Meterai MoU Bersama Zhejiang Institute Of Freshwater Fisheries Perkukuh Penyelidikan Udang Galah

SHAH ALAM, 25 Jun 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Zhejiang Institute of Freshwater Fisheries (ZIFF), China sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi akuakultur, khususnya berkaitan udang galah (Macrobrachium rosenbergii).

Majlis pemeteraian tersebut telah berlangsung di Seminar Hall 1, Setia City Convention Centre bersempena AgTech International Agro Expo 2026. Memorandum Persefahaman itu telah ditandatangani oleh Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris, Pengarah I-AQUAS, mewakili UPM, manakala Zhejiang Institute of Freshwater Fisheries diwakili oleh Dr. Yuan Julin, Timbalan Pengarah merangkap Penyelidik. Turut mengiringi majlis ialah Prof. Dr. Murni Marlina Abd. Karim, Timbalan Pengarah I-AQUAS, dan En. Gao Qiang, Ketua Seksyen merangkap Penyelidik, Makmal Penyelidikan Genetik dan Pembiakbakaan ZIFF.

Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta dihadiri oleh Puan Khazlita Adzim binti Abdol Aziz @ Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), bersama delegasi Zhejiang Institute of Freshwater Fisheries dan wakil-wakil industri akuakultur.

Kerjasama ini dimeterai bagi memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa serta mempercepat pembangunan teknologi dan inovasi dalam industri udang galah yang semakin berkembang. Melalui persefahaman ini, kedua-dua institusi akan memfokuskan kepada penyelidikan berkaitan genetik, pembiakbakaan, penghasilan benih berkualiti tinggi, pembangunan teknologi penternakan moden serta pengurusan sumber akuatik yang mampan.

Selain itu, MoU ini turut membuka ruang kepada pertukaran penyelidik, perkongsian kepakaran, penganjuran program akademik dan latihan, serta pelaksanaan projek penyelidikan bersama yang berpotensi memberi impak kepada pembangunan industri akuakultur di Malaysia dan China. Kerjasama ini juga dijangka meningkatkan kapasiti penyelidikan serta memperkukuh hubungan akademik dan saintifik antara kedua-dua institusi.

Inisiatif ini membuktikan komitmen UPM melalui I-AQUAS dalam memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa bagi menyokong agenda penyelidikan berimpak tinggi, pemindahan teknologi dan pembangunan industri akuakultur yang lebih berdaya saing, selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan pembangunan sektor perikanan yang mampan.

Tarikh Input: 29/06/2026 | Kemaskini: 08/07/2026 | nurulainramli

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8100
03-9769 8953
W, (01:09:17pm-01:14:17pm, 14 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]