Artikel oleh: Nur Hidayahanum Hamid
Sumber: American Society for Microbiology
Satu kajian yang diterbitkan dalam mBio, jurnal Persatuan Mikrobiologi Amerika, mendedahkan bahawa wabak bakteria yang menjejaskan ladang ternakan ikan keli di Tenggara Amerika Syarikat berkemungkinan berpunca dari Asia. Penyelidik dari Universiti Auburn bersama beberapa institusi lain telah mengenal pasti bahawa strain Aeromonas hydrophila telah menyebabkan kerugian besar di ladang ternakan ikan keli di Alabama, Mississippi dan Arkansas sejak tahun 2009 mempunyai pertalian rapat dengan strain yang ditemui pada ikan kap rumput berpenyakit di China.
Jangkitan ini dikenali sebagai Septisemia Aeromonas, sangat berbahya dan boleh menyebabkan kematian ikan dalam tempoh 12 jam selepas dijangkiti. Antara tanda klinikal termasuklah luka berdarah pada kulit dan kehilangan darah yang ketara. Strain ini telah mengganggu industri ternakan ikan keli di Amerika Syarikat, sekali gus menimbulkan ancaman besar terhadap produktiviti dan kelestarian akuakultur.
Persamaan genetik antara strain dari Amerika Syarikat dan China menunjukkan kemungkinan pergerakan rentas sempadan patogen ini, sekaligus menunjukkan bahawa risiko biosekuriti global dalam sektor akuakultur. Kajian ini menekankan kepentingan pemantauan perdagangan ikan antarabangsa, pelaksanaan protokol biosekuriti yang lebih ketat serta pengawasan berterusan bagi mencegah penularan wabak pada masa hadapan.
Penemuan ini juga menekankan keperluan terhadap strategi pengesanan dan tindak balas patogen yang pantas, di samping memberi perhatian terhadap kesan ekologi dan ekonomi akibat kemunculan patogen akuatik. Langkah proaktif seperti peningkatan langkah diagnostik, perkongsian data antara negara serta amalan pengimportan ikan yang bertanggungjawab adalah penting untuk melindungi kesihatan industri akuakultur di seluruh dunia.
Gambar 1: Ikan yang dijangkiti Aeromonas hydrophila lazimnya menunjukkan kemerahan pada kulit, sirip dan mata. Kredit Foto: © Anita M Kelly
Tarikh Input: 30/04/2025 | Kemaskini: 11/11/2025 | m_fakhrulddin
