WARISAN PERIKANAN KITA – TIRAM | INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
» ARTIKEL » WARISAN PERIKANAN KITA – TIRAM

WARISAN PERIKANAN KITA – TIRAM

Oleh: Dr. Nurleena Wong Wai sin

Tiram sangat sinonim dengan hidangan mewah dan secara umumnya jarang sekali dimakan oleh penduduk tempatan di Malaysia, mungkin kerana harganya yang mahal. Tinggi dengan mineral dan protein, tiram adalah sangat berkhasiat disamping kadar kolesterol dan kalori yang rendah. Generasi muda kurang mengetahui bahawa industri tiram Malaysia mempunyai sejarah lebih dari 150 tahun. Tiram asli (Crassostrea spp.) di Malaysia biasa ditemui di persekitaran payau dan marin di mana ianya berkembang pesat di kawasan pesisir pantai dan ekosistem paya bakau. Sementara itu, di Muar, tiram telah hidup dan boleh diperolehi oleh rakyat Muar sejak turun menurun lamanya. Rekod terawal mengenai aktiviti ini ditemui di dalam “The Journal of the Indian Archipelago and Eastern in 1858”, yang dikarang oleh Kapten R. Macpherson juga selaku Presiden Majlis di Melaka, ketika beliau melewati Muar dalam perjalanannya ke Melaka:

“Muara sungai (Sg. Kesang) sangat terkenal dengan hasil tiramnya, dan mempunyai ikan yang sangat besar dan sedap.”

Sungai Kesang, adalah merupakan sebatang sungai yang lebih kecil tidak jauh dari Sungai Muar. Penangkapan tiram di Sungai Kesang tidak lagi wujud akibat dari adanya projek tebatan banjir yang menyebabkan kepupusan tiram di kawasan tersebut.

Pelajar lepasan graduan UPM mengambil bacaan data alam sekitar di Sungai Muar, Johor.

Di dalam Panduan Koleksi Zoologi Raffles Museum, Singapura (1908), R. Hanitsch ada menyebut bahawa Muar membekalkan kebanyakan tiram yang dijual di pasaran Singapura. Beliau mengatakan bahawa:

"Tiram Muar ... boleh ditemui di dasar sungai, sebahagiannya di sekitar bandar Banda Maharani (sekarang bandar Muar), dan sebahagian yang lain berdekatan muara. Yang berdekatan muara adalah lebih besar dan lebih berkualiti dan dikhaskan untuk Sultan dan pegawainya. "

Pak Zainal, generasi ketiga penyelam tiram, kembali ke permukaan sungai bersama tiram yang ditemui di dasar sungai. Tiang bakau setinggi 40 kaki menjadi panduan untuk sampan dan juga elemen keselamatan bagi penyelam tiram di dalam arus deras.

Seperti yang dijelaskan oleh Hanitsch, nelayan di Sungai Muar masih menggunakan kaedah yang sama untuk mengutip tiram, iaitu dengan menyelam ke dasar sungai semasa air surut. Dengan menahan nafas, mereka mencari tiram dengan meraba menggunakan tangan kosong, kerana tahap penglihatan yang sangat rendah disebabkan bahagian bawah yang berlumpur. Hari ini, kurang daripada 10 penyelam tiram yang masih kekal dalam bidang ini. Ramai di antara mereka adalah generasi ketiga atau keempat yang mewarisi kemahiran menyelam tiram dari nenek moyang mereka. Populasi tiram juga telah menurun dan penyelam tiram tidak lagi menjadi bidang pekerjaan yang menguntungkan. Sungai sering dipetik sebagai salah satu ekosistem paling terancam yang sangat dipengaruhi oleh tekanan antropogenik, terutamanya pencemaran.

Untuk menghidupkan semula populasi tiram yang berkurangan di Sungai Muar, I-AQUAS kini bekerjasama dengan Oyster Reef Enterprise untuk menjalankan penyelidikan mengenai ekologi dan biologi populasi tiram ini. Penangkapan tiram secara semulajadi secara berterusan ini tidak lagi mapan dan akuakultur adalah alternatif yang lebih baik untuk pengeluaran yang lebih mapan. Hasil penyelidikan berkaitan pemahaman tentang habitat dan aktiviti pembiakan tiram akan memberikan maklumat penting dalam pengeluaran benih dan kultur spesies tiram ini.

Selain daripada peningkatan mata pencarian untuk penyelam tiram, populasi tiram yang stabil dan mapan juga memberi manfaat kepada alam sekitar. Tiram adalah sejenis pemakan penyaring, dan mampu meningkatkan mutu air dengan  dengan memampatkan pepejal terampai dan mengumpul pepejal yang dikumuhkan ke bahagian dasar. Pembentukan terumbu tiram di dasar sungai boleh memberi perlindungan dan habitat kepada organisma lain dan dengan itu dapat memperkayakan biodiversiti ekosistem akuatik. Oleh kerana pertanian tiram adalah akuakultur ekstraktif proses pemberian makanan untuk pembesaran adalah tidak perlu. Tiram hanya perlukan alga mikro yang mampu secara tidak langsung mengurangkan pencemaran nutrisi yang boleh menyebabkan pembiakan alga berbahaya.

Tiram yang dibawa balik oleh penyelam tiram dijual di jeti. Tiram boleh dimakan mentah atau dimasak sebagai telur dadar tiram yang sangat terkenal di Muar.

Dengan semua manfaat di atas, pertanian tiram adalah mesra alam dan harus digalakkan di kalangan usahawan akuakultur. Yang lebih utama, perikanan tiram Muar harus dilindungi kerana ia adalah sebahagian daripada warisan negara kita.

 

Tarikh Input: 28/03/2020 | Kemaskini: 30/11/2020 | m_fakhrulddin

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8100
03-9769 8953
SXEaGA7~