Oleh : Nurul Ain Ramli
PORT DICKSON, 31 Mei 2025 – Seramai 80 peserta telah menyertai Program Kayuhan Kayak Pesisiran Pantai sempena Sambutan Hari Keputeraan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-77, yang berlangsung di Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), UPM, Teluk Kemang, hari ini. Program ini merupakan inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban 3, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan SWCorp.
Objektif utama penganjuran adalah untuk menerapkan nilai khidmat masyarakat dalam kalangan ketua jabatan serta memperkenalkan sukan rekreasi sebagai produk pelancongan baharu sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026). Peserta telah memulakan ekspedisi berkayak dari I-AQUAS UPM Batu 6 ke Pantai Cahaya Negeri, kemudian ke Pulau Terumbu sebelum kembali semula ke I-AQUAS.
Aktiviti ini turut melibatkan aktiviti pembersihan kawasan pantai dan kutipan sampah sekitar pulau sebagai simbol komitmen terhadap penjagaan alam sekitar. Sebanyak 13 jabatan dan agensi kerajaan turut serta menjayakan program ini, antaranya Majlis Perbandaran Port Dickson, Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Pejabat Kesihatan Daerah, JKR, JPS, JKM, Pejabat Pertanian Daerah, Balai Bomba Port Dickson, Balai Bomba Teluk Kemang, Jabatan Laut, SAINS, Pejabat Perikanan, dan Pejabat Penerangan.
Turut hadir memeriahkan program ialah YB Dato’ Mohd Faizal Bin Ramli (ADUN Linggi), YBhg. Pn Nurhazelin Binti Makli (Pegawai Daerah Port Dickson), YDH Supt Maslan Bin Udin (Ketua Polis Daerah Port Dickson), serta pensyarah kanan dan wakil daripada Fakulti Sains Sukan & Rekreasi UiTM. Program ini berlangsung dengan lancar dengan bantuan kawalan keselamatan rapi daripada pihak PDRM, BOMBA dan APNM tanpa sebarang insiden tidak diingini. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan sebagai platform kerjasama strategik antara agensi serta dalam menyemarakkan semangat khidmat masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

Tarikh Input: 26/06/2025 | Kemaskini: 06/11/2025 | nurulainramli
