Sejarah | INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
» MENGENAI KAMI » Latar Belakang » Sejarah

Sejarah

Bermula pada tahun 1991 sebagai Pusat Pengajian Marikultur (COMAS), Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) UPM telah melakar rentetan sejarah yang unik selama tiga dekad penubuhannya.  COMAS telah ditubuhkan pada tahun 1991 di bawah Fakulti Perikanan dan Sains Samudera dan mula beroperasi secara rasmi pada tahun 1993. Pusat ini pada asalnya ditubuhkan untuk tujuan penyelidikan aspek-aspek Sains Marin di Selat Melaka. Setelah Fakulti Perikanan dan Sains Samudera di pindahkan ke Terengganu pada tahun 1996, COMAS telah mengalami beberapa perubahan dari segi pentadbiran, termasuk perubahan nama kepada Pusat Sains Marin, yang pada mulanya di bawah Pentadbiran Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar, tetapi kemudiannya diselia oleh Pejabat Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM.

 

Dari tahun 1996 hingga 2017, Pusat Sains Marin terus berusaha sebagai salah satu pusat penyelidikan marin yang diiktiraf di sepanjang Selat Melaka. Suasana dan kawasan persekitaran yang hijau dan menyegarkan, keadaan kerja yang selesa, serta peralatan dan kemudahan asas yang mencukupi untuk pembelajaran adalah antara kelebihan-kelebihan pusat penyelidikan ini. Pusat Sains Marin telah berjaya memperolehi beberapa dana projek penyelidikan daripada sumber-sumber berperingkat kebangsaan dan antarabangsa, di mana ia merangkumi bidang pembiakan dan pengeluaran benih, mikroalga, kultur makanan hidup serta pemuliharaan dan pengurusan species marin yang terancam. Pusat Sains Marin telah memberi tumpuan kepada pengeluaran benih ikan dan berbagai spesies krustasea bernilai komersial. Disamping itu, Pusat Sains Marin juga terlibat dengan pengeluaran benih-benih species perikanan yang penting untuk kegunaan para peternak dan usahawan akuakultur tempatan.

 

Pusat Sains Marin terus berusaha dalam berbagai kajian berteraskan bidang akuakutur dan perikanan, serta beraspirasi untuk menjadi sebuah pusat penyelidikan yang cermerlang dalam bidang marin, akuakultur dan pemuliharaan alam semula jadi. Pada Disember 2019, sekali lagi Pusat Sains Marin menempa sejarah apabila ianya dinaiktaraf sebagai sebuah institut antarabangsa, iaitu Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS). Penubuhan I-AQUAS adalah berdasarkan objektif bagi menyediakan satu platform penyelidikan baharu berlandaskan elemen tempatan serta antarabangsa dalam bidang akuakultur dan sains akuatik, dan seterusnya menjadikan UPM sebagai pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi semasa dalam bidang berteraskan ekosistem perairan dan sumber semula jadi

 

Jalinan yang rapat di antara I-AQUAS dengan pusat/institusi penyelidikan lain dari seluruh dunia telah membuka pelbagai peluang untuk berkerjasama dalam pelbagai aspek penyelidikan dan inovasi dalam bidang akuakultur dan akuainformatiks.  Rangkaian dan jalinan yang luas membolehkan I-AQUAS terus berkembang sebagai sebuah institut penyelidikan bertaraf global selaras dengan visi UPM untuk menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa.

 

 

 

Kemaskini:: 28/10/2021 [nsyahirah]

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8100
03-9769 8953
SXERGAm~