Programme Of Study | INTERNATIONAL INSTITUTE OF AQUACULTURE AND AQUATIC SCIENCES
» LABORATORY / UNIT » Laboratory of Aquatic Ecosystems And Management (EcosystemLab) » Programme of Study

Programme of Study

 

  1. Kejuruteraan Akuakultur

Synopsis

Kejuruteraan akuakultur adalah bidang yang melibatkan prinsip kejuruteraan dalam akuakultur terutamanya dalam rekabentuk sistem pengeluaran akuakultur. Dalam bidang ini, kecekapan sesebuah rekabentuk seperti RAS (sistem kitar semula akuakultur), sistem kultur multitrofik, fotobioareaktor dan lain-lain adalah menjadi keutamaan. Ciri-ciri hidraulik dan hidrologi yang terlibat dalam proses mendapatkan sumber air dan pergerakan air untuk aktiviti akuakultur adalah menjadi keutamaan. Rekabentuk sistem rawatan air dan automasi dalam akuakultur untuk meningkatkan kecekapan produktiviti juga turut diberi perhatian. Dalam mendepani situasi bekalan air yang tidak konsisten di beberapa kawasan, bidang ini amat penting untuk memastikan bekalan air mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti.

Selain itu, teknologi IoT juga adalah penting untuk memantau kecekapan sistem pengeluaran akuakultur. Ditambah dengan keupayaan memantau tingkah laku ikan dengan menggunakan teknologi pengimejan (image processing) dan sonik, bidang ini dapat meningkatkan kualiti  pengeluaran ikan.

Graduan bidang ini akan dapat mencebur diri dalam kerjaya sebagai usahawan ladang ternakan marin, pegawai perundingan, pegawai sains, pegawai penyelidik, pensyarah, dan pembuat dasar di institusi kerajaan atau swasta. Kerjaya tersebut tidak terhad kepada dalam negara, malah mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

 

  1. Akuainformatik

Sinopsis

Akuainformatik adalah merupakan salah satu cabang sistem informasi yang menumpukan kepada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam menangani sains akuatik. Sains Akuatik adalah kajian multidisiplin ekosistem akuatik, baik air tawar mahupun laut. Beberapa bidang pengajian utama dalam sains akuatik termasuk: limnologi (kajian tasik, sungai, tanah lembap dan air bawah tanah); biogeokimia; ekologi akuatik; oseanografi; biologi marin; dan hidrologi.

Sistem Maklumat Geografi (GIS) telah menjadi sebahagian daripada sains akuatik dan limnologi. Sifat air adalah dinamik dan ciri-ciri yang dikaitkan dengan air itu sentiasa berubah. Bagi membolehkan kita mengikuti perubahan ini, kemajuan teknologi dan kaedah saintis digunakan untuk meningkatkan semua aspek penyiasatan saintifik, dari pengesanan satelit hidupan akuatik ke pemetaan habitat secara berkomputer.

GIS digunakan dalam pelbagai bidang sains akuatik dari limnologi, hidrologi, botani akuatik, ekologi aliran, oseanografi dan biologi marin. Aplikasi yang boleh digunapakai termasuklah menggunakan imej satelit untuk mengenal pasti, memantau dan mengurangkan kehilangan habitat. Pengimejan juga boleh menunjukkan keadaan kawasan yang tidak dapat diakses. Para saintis dapat mengesan pergerakan dan mengembangkan strategi untuk mencari lokasi yang sesuai untuk sesuatu aktiviti berkaitan akuatik. GIS juga boleh digunakan untuk mengesan spesies invasif, spesies terancam, dan perubahan populasi akuatik. Salah satu kelebihan sistem ialah ketersediaan maklumat yang boleh dikongsi dan dikemas kini pada bila-bila masa melalui penggunaan pengumpulan data berasaskan web.

Graduan bidang ini akan dapat mencebur diri dalam kerjaya sebagai ahli saintis akuatik, penyelidik, pensyarah, perunding, dan pembuat dasar di institusi kerajaan atau swasta. Kerjaya tersebut tidak terhad kepada dalam negara, malah mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

 

  1. Biologi Marin

Sinopsis

Bidang biologi marin merupakan asas dalam memahami kehidupan laut termasuk semua flora dan fauna, dari hidupan mikro ke makro. Ekosistem marin adalah kompleks dan semua kehidupan marin memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelestarian sumber perikanan. Bidang ini mengfokuskan kepada mendalamkan pemahaman interaksi antara hidupan marin, dan turut merangkumi impak proses fizikal dan biologi terhadap organisme marin. Kajian biologi marin berfungsi sebagai asas dalam memahami peranan dan interaksi hidupan dalam ekosistem marin.

Bidang ini akan fokus kepada pengaruh faktor fizikal terhadap produktiviti organisme marin, adaptasi fisiologi hidupan terhadap perubahan persekitaran, kompleks interaksi biologi dalam ekosistem marin,dan kajian klasifikasi seperti sistematik dan taksonomi. Selain itu, bidang ini juga melibatkan kajian aliran tenaga antara organisme dalam sesuatu ekosistem. Kajian biologi marin sering dijalankan bersama bidang lain seperti oceanografi biologi, biologi sel, kimia, ekologi, geologi, biologi molekular, zoologi, biologi pemuliharaan marin, dan biologi perikanan. Bidang biologi marin adalah satu bidang yang luas, dan ini membolehkan calon memilih pengkhususan bidang mengikut keperluan dan minat masing-masing. Hasil kajian biologi marin boleh menyumbang kepada aplikasi sains gunaan seperti sains perikanan, akuakultur, sains perubatan dan kejuruteraan marin.

Graduan bidang ini akan dapat menceburi diri dalam kerjaya sebagai ahli sains, penyelidik, pensyarah, pakar runding, dan pembuat dasar di institusi kerajaan atau swasta. Kerjaya tersebut tidak terhad kepada dalam negara, malah memainkan peranan yang penting di peringkat antarabangsa.

 

Updated:: 23/09/2021 [nsyahirah]

MEDIA SHARING

INTERNATIONAL INSTITUTE OF AQUACULTURE AND AQUATIC SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8100
03-9769 8953
SXFJWAP~