Artikel oleh: Nur Hidayahanum Hamid
Sumber: Nanyang Technological University
Para saintis dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, dan Politeknik Temasek telah membangunkan alternatif yang mampan terhadap tepung ikan dengan menggantikan sebahagian daripada protein dalam diet ikan Siakap Asia yang diternak dengan "protein sel tunggal" yang diperoleh daripada mikrob dalam air sisa pemprosesan kacang soya. Inovasi ini mengurangkan kebergantungan terhadap tepung ikan tradisional yang menyumbang kepada penangkapan ikan yang berlebihan.
Kajian yang diketuai oleh Pusat Kejuruteraan Sains Hayat Alam Sekitar (NTU, Singapura) dan Pusat Inovasi Akuakultur Politeknik Temasek, menunjukkan bahawa ikan yang diberi makan dengan diet baharu itu membesar seperti ikan yang menggunakan tepung ikan konvensional namun dengan pertumbuhan yang lebih seragam. Protein sel tunggal yang telah dibiak di dalam bioreaktor menggunakan air sisa kacang soya, menawarkan penyelesaian sisa kepada sumber yang sejajar dengan prinsip ekonomi kitaran.
Pendekatan ini menyokong matlamat Singapura untuk memenuhi 30% keperluan pemakanannya melalui akuakultur menjelang 2030. Penyelidikan yang diterbitkan dalam Laporan Saintifik, menandakan kemajuan yang ketara ke arah akuakultur mampan dan rancangan masa depan termasuk memanjangkan tempoh percubaan dan meneroka sumber air daripada sisa yang berbeza.

Gambar 1: Pasukan penyelidik menanam protein sel tunggal daripada air sisa pemprosesan kacang soya. Protein yang dibiak dan kemudiannya digunakan untuk menggantikan sebahagian daripada protein tepung ikan dalam diet ikan siakap Asia yang diternak (Kredit foto: NTU Singapura)

Gambar 2: (Mengikut arah jam dari kiri) Tepung ikan berpelet biasa, serbuk tepung ikan biasa, pelet yang terdiri daripada tepung ikan biasa dan protein sel tunggal dalam bahagian yang sama, dan protein sel tunggal dalam bentuk serbuk (Kredit foto: LIANHE ZAOBAO)

Gambar 3: Dr Loo Poh Leong, felo penyelidik di SCELSE, memberi makan ikan siakap Asia berusia tiga bulan dengan diet yang mengandungi bahagian yang sama dengan tepung ikan biasa dan protein sel tunggal, yang dibiak daripada air sisa pemprosesan kacang soya. FOTO: LIANHE ZAOBAO

Gambar 4: Ahli pasukan penyelidik NTU-TP termasuk (baris belakang, L-R): Profesor NTU Stefan Wuertz, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dan Timbalan Pengarah Pusat, SCELSE; Dr Loo Poh Leong, felo Penyelidik, SCELSE; Dr Ezequiel Santillan, felo penyelidik kanan, SCELSE, (baris depan, L-R) Dr Woo Yissue, Felo Penyelidik, SCELSE; Dr Diana Chan, Ketua, AIC di Politeknik Temasek (Kredit gambar: NTU Singapura).
Tarikh Input: 06/11/2024 | Kemaskini: 06/11/2024 | hidayahanum
